Belajar Cara Buat Duit Dengan ChurpChurp

Sunday, December 4, 2011

Merebut kelebihan bulan Muharram

ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)


Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.

Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Hikmah bulan haram

Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan sunnah Muharam

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”

Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.

” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.

Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim) -Harakah Daily
Baca Lagi......
P/S : Beli iPhones iPads yang diminati kat sini.....Sold.my !!!

Gagal rompak guna pistol mainan

Cubaan kali keempat seorang lelaki merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam yang sama dengan menggunakan pistol mainan di Jalan Sultanah di sini, gagal malah dia dipukul pekerja kedai tersebut dalam satu kejadian kira-kira pukul 4.40 petang semalam.



Perompak tersebut yang merupakan bekas anggota tentera yang lari daripada tugas sebelum itu, telah tiga kali berhasil merompak kedai berkenaan namun percubaan kali keempatnya digagalkan pekerja kedai serbaneka itu.

Menurut pekerja kedai tersebut, Md Mizan Nur Rahman, 37, ketika kejadian rakannya, Md Shairajul Islam, 32, berada di kaunter pembayaran semasa seorang lelaki meluru masuk dan terus mengacukan “pistol.” Perompak itu meminta Shairajul memasukkan wang tunai RM500, rokok, barang kosmetik dan kad tambah nilai telefon bimbit ke dalam beg plastik, sama seperti tiga kes rompakan yang dilakukannya sebelum itu.

"Shairajul bagaimanapun enggan menuruti kehendaknya menyebabkan perompak itu bertindak agresif dan pada masa sama Shairajul mengambil parang dari bawah kaunter untuk menghalang perompak itu.

"Masa tu saya nampak Shaijarul bergelut dengan lelaki itu yang menggigit kedua-dua telinga kawan saya. Saya terus tolong Shairajul melawan dan memberkas perompak itu,” kata Md Mizan kepada pemberita di tempat kejadian petang semalam. - Bernama
Baca Lagi......
P/S : Beli iPhones iPads yang diminati kat sini.....Sold.my !!!

Geofrey Peluk Islam

Pelakon baru berketurunan Australia, Geofrey Perrin Williams atau nama Islamnya Jufri Rayyan Williams, 27, berasa lebih bertanggungjawab selepas memeluk Islam pada bulan lepas.

Dia pernah muncul dalam beberapa buah drama tempatan seperti Habil dan Qabil, Cikgu Kemisah Kirby, Jangan Bunuh Matahariku, Jodoh Oh Jodoh, Durja Ningsun, Ar Rayyan dan Lilin Cinta.

Menurut pelakon yang selesa menggunakan nama Islamnya, Rayyan, tanggungjawabnya lebih besar memandangkan banyak perkara yang perlu diambil berat agar semua perkara yang dilakukan diterima oleh Allah.

“Saya sudah buka pintu yang tak pernah buka sebelum ini. Sebaik saya melangkah sekaki ke depan, saya rasa seperti sudah masuk ke dunia baru.

“Saya bersyukur kerana mendapat hidayah untuk memeluk Islam dan merasa tenang walaupun tanggungjawab saya menjadi lebih besar selepas ini.

“Saya bimbang jika ada yang akan gelakkan saya kerana saya masih kekok untuk membaca al-Quran melainkan hanya tahu mengucap dua kalimah syahadan dan membaca Al-Fatihah,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun dia tidak malu untuk mendapat tunjuk ajar daripada abangnya, Nordin Abdullah yang telah lama memeluk Islam pada tahun 1992 dan bapa kepada kekasihnya, pramugari Air Asia X, Juiza.

“Saya masih belajar untuk solat melalui abang dan ayah kekasih saya. Selain itu, saya ada merujuk buku-buku agama seperti buku panduan solat untuk mualaf yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Setiap bulan, saya perlu melapor di Jawi untuk menilai sejauh mana progresif saya mendalami Islam,” katanya.

Jelas Rayyan, banyak perkara yang membuatkan dirinya nekad memeluk Islam.

“Saya memeluk Islam kerana banyak sebab. Pertama, saya menjadikan abang saya, Nordin yang telah lama memeluk Islam sebagai contoh. Walaupun saya mempunyai kekasih berketurunan Melayu dan beragama Islam, tetapi saya memeluk Islam bukan kerana dia.

“Setiap kali berlakon, saya selalu melakonkan watak mualaf dan semua itu membuatkan saya perlu membuat kajian untuk menghayati watak itu dan menimbulkan rasa ingin tahu tentang Islam.

“Selain itu, saya mempunyai beberapa orang kawan iaitu Shahirah Alaiza yang menjadi kawan di pejabat lama dulu dan pelakon Adzriefaiz Azlan yang banyak berkongsi pengetahuan tentang Islam seperti kelebihan dan pantang larang orang Islam. Jadi, semua itu membuka mata saya,” jelasnya panjang lebar.

Mengenai reaksi keluarga setelah dia memeluk Islam, Rayyan agak bertuah kerana mempunyai ahli keluarga terutama ibu dan bapa yang memahami dan memberi sokongan kepada keputusannya itu.

“Ibu saya bertanyakan kepada saya sama ada saya akan berkahwin dengan kekasih saya dalam masa terdekat ini. Tetapi saya tak nak komen apa-apa lagi walaupun kami serius berkawan sejak lebih setahun lalu.

“Bagaimanapun, abang saya, Nordin dan kedua ibu bapa saya sangat gembira apabila saya memaklumkan berita ini,” ujarnya lagi.

Rayyan melafaz dua khalimah syahadah di sebuah masjid di Kampung Jijan berdekatan Sepang seminggu sebelum mendaftar dan sekali lagi melafaz dua kalimah syahadah di pejabat Jawi pada 30 November lalu.

Menyentuh tentang karier seni, Rayyan masih aktif berlakon seperti biasa dan baru selesai menjalani penggambaran drama Tok Ayah dan Jangan Bunuh Matahariku musim kedua serta muncul dalam filem Azura dan filem Hong Kong, Viral Factor.

Selain itu, dia akan menjalani penggambaran sekuel drama Cikgu Kemisah Kirby pada Isnin ini dan selepas itu mendapat tawaran untuk berlakon sebuah telefilem.
Baca Lagi......
P/S : Beli iPhones iPads yang diminati kat sini.....Sold.my !!!

Catriona bertudung cetus fitnah

Syukur kepada Allah kerana ada lagi berita artis bertudung. Ini memberi impak yang positif kepada masyarakat kita yang terlalu meminati artis. Baca dulu cerita kat bawah .....

Penghijrahan aktres Catriona Ross untuk bertudung mengundang fitnah apabila beliau dilemparkan pelbagai tohmahan termasuk menyertai parti politik pembangkang apabila aktif menerima undangan berceramah dalam majlis-majlis tertentu.


Menurutnya, sejak mengambil keputusan bertudung selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu, rakan seangkatan dalam industri hiburan yang dulunya rapat semakin menjauhkan diri.

“Rakan-rakan rapat saya yang dulu sentiasa bersama juga hilang entah ke mana. Ada juga yang menuduh saya masuk politik kerana saya banyak terima undangan majlis motivasi dan ceramah.

“Ada juga rakan-rakan dalam bidang hiburan sendiri yang menggelar saya ‘ustazah jadi jadian’ ekoran perubahan drastik yang saya lakukan selepas tampil bertudung di khalayak,” kata ibu kepada Sephia Rania Ross-Iddin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel Program Bual Bicara Hijrah-Antara Usaha atau Hidayah Sempena Majlis Budaya Ilmu Perdana Maal Hijrah 2011 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, kelmarin.

Program itu turut disertai Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, Dr Aminurrasyid Yatiban dan Dr Noorhisham Md Nawi.

Catriona Noorhayati Ross Bahrin Ross yang berasal dari Kota Bharu itu berkata, beliau akur dengan segala cercaan dan tohmahan yang diterima sejak berhijrah lebih ke arah kehidupan Islam kerana ia sudah menjadi lumrah.

Menurutnya, beliau selesa dengan penampilan baru itu dan bersyukur ahli keluarga dan rakan-rakan rapat semasa belajar dulu sentiasa memberikan sokongan padu kepadanya sehingga kini.

Katanya, penampilannya itu tidak lengkap tanpa diserikan dengan ilmu dan sebab itulah beliau kini aktif menerima pelbagai undangan program motivasi, bual bicara, ceramah dan juga usrah.

Anak kacukan Melayu-Scotland itu berkata, melalui aktiviti seumpama itu beliau dapat berkongsi pengalaman dengan pelbagai lapisan masyarakat dan juga dapat menimba lebih banyak ilmu agama dengan membaca al-Quran dan kitab agama untuk dikongsi bersama hadirin.

“Melalui pembacaan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan ilmu agama saya dan apabila bercakap saya bukan bercakap kosong tetapi ada fakta yang menyokongnya.

“Saya tidak mahu menjadi individu yang hanya menutup aurat tetapi tiada ilmu. Sebab itu saya banyak membaca al-Quran dan kitab berkaitan agama untuk memperoleh lebih banyak pengetahuan,” katanya.

Mengenai pelbagai fitnah yang dilemparkan pula, beliau menerimanya dengan reda dan menganggapnya sebagai dugaan apabila berhijrah ke jalan ALLAH SWT.

Menurutnya, apabila menerima cercaan seumpama itu beliau hanya mampu tersenyum dan mendoakan individu yang mencercanya supaya berubah suatu hari nanti.

Katanya, beliau sentiasa istiqamah dalam menjalani kehidupan supaya perubahan yang dilakukan itu selain memberi kebaikan kepada diri sendiri, ia turut dapat dirasai dan dikongsi bersama mereka di sekelilingnya.

Catriona berkata, kini beliau sibuk dengan program ceramah dan motivasi di beberapa negeri sehingga aktiviti lakonan yang masih diminati terpaksa ditangguhkan sementara waktu.

Untuk perancangan masa depan, beliau bercadang menghasilkan buku yang menceritakan pengalamannya selama ini dan perubahan yang dilakukan selepas berumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata.

“Insya-Allah jika tiada masalah, saya akan mula menulis buku itu tidak lama lagi,” katanya.-Sinar Harian
Baca Lagi......
P/S : Beli iPhones iPads yang diminati kat sini.....Sold.my !!!

Pelik : Pokok pisang emas mengandung

Anda pernah tengok pokok pisang emas berbuah di batang. Baca cerita ni dulu..

“Saya terkejut apabila melihat satu daripada pokok pisang emas yang ditanam berbuah di batangnya dan kelihatan seperti sedang mengandung,” kata seorang pencuci bangunan selepas melihat kejadian aneh itu di rumahnya di Kampung Tanjung, Jeram di sini.


Siti Aishah Ibrahim, 37, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas membersihkan dan menebas semak samun di sekitar kawasan rumahnya pada petang Ahad lalu.

“Tidak sangka pula petang itu saya akan menjumpai buah pisang yang keluar di batangnya seperti orang mengandung iaitu pada pokok pisang yang ditanam oleh arwah ibu lebih setahun lalu.

“Sejak setahun lalu, pokok terbabit telah mengeluarkan tiga kali hasil namun ini merupakan kali pertama ia keluar di batang seakan mengandung dan tidak berlaku pada pokok pisang yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Aishah berkata, buat masa ini dia tidak berhasrat menebang pokok itu kerana mahu menunggu keseluruhan hasilnya.

“Saya tidak akan tebang dan mahu melihat apa akan terjadi seterusnya kerana ia juga berbuah dalam keadaan menaik dan bukan menurun seperti pisang yang lain.

“Kami sekeluarga bersyukur diberi peluang melihat perkara aneh tetapi benar seperti ini dan berharap menerima rezeki daripada Tuhan,” katanya.-Sinar Harian
Baca Lagi......
P/S : Beli iPhones iPads yang diminati kat sini.....Sold.my !!!

Cerita Syella Kamaruddin dan bekas Ketua Polis Negara

Memalukan dan mengecewakan! Itulah digambarkan pelakon tersohor, Datuk Jalaluddin Hassan, apabila tersebarnya berita perkahwinan penyanyi, Syella Kamaruddin yang dikaitkan dengan abangnya, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.


Jalaluddin memberitahu, berita yang tersebar di laman maya itu, membuatkan dia dan keluarga terkejut besar. Malah orang tuanya sendiri tidak mengetahui perkara ini.

“Baru semalam (Jumaat) saya hubungi abang saya. Bila saya bertanyakan perkara ini, abang dan kakak ipar saya tergelak besar.

“Orang paling terkesan dengan khabar ini ialah orang tua kami. Takkanlah abang saya sekejam itu sehingga menyembunyikan hal ini dari pengetahuan mereka,” katanya kepada Zass.

Jalaluddin turut kesal dan marah apabila berita itu turut mengaitkan bapanya.

“Saya ada terbaca artikel berkenaan isu itu. Kenapa menulis sedemikian? Mengaitkan pula ayah saya dalam hal ini.

“Cukuplah mereka membuat cerita tidak benar tentang abang saya. Kini mereka mahu melibatkan ayah saya pula. Orang yang menyebarkan berita ini memang tidak berbudi bahasa,” katanya dalam nada geram.


Gesa Musa ambil tindakan

Berikutan fitnah yang disebarkan, Jalaluddin menggesa abangnya mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebarkan fitnah tersebut.

“Bagi saya, mereka yang menyebarkan fitnah ini merupakan orang yang tidak mempunyai hati dan perasaan. Main sedap mulut sahaja berkata-kata.

“Kalau tidak tahu, buat cara tidak tahu. Sebelum sebarkan, siasat dahulu berita itu benar atau tidak,” katanya.

Membangkitkan mengenai perkahwinan yang dikatakan menelan belanja RM15 juta itu, Jalaluddin memberitahu, adalah sesuatu yang mustahil jika abangnya mempunyai wang sebanyak itu kerana menurutnya, Musa merupakan seorang yang sederhana dalam segala hal.

“Abang saya memakai selipar apabila keluar. Dia juga pergi ke kedai mamak untuk makan. Kalau abang saya mampu mengadakan majlis perkahwinan yang berjumlah RM15 juta, pasti bapa saya kini hidup lebih senang,” katanya.


Minta suami Syella tampil

Selain akan mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebarkan fitnah ini, Jalaluddin juga turut meminta agar suami Syella tampil membuat kenyataan.

“Perkara ini melibatkan maruah kami sekeluarga. Jika suami Syella seorang yang gentleman, sila tampil dan betulkan keadaan,” katanya.

Jalaluddin juga meminta agar Syella tidak terus menyembunyikan suaminya itu.

“Sekiranya suami Syella rasa bertanggungjawab terhadap isu ini, dia harus datang ke depan dan tonjolkan dirinya.

“Dia harus sedar, kami semua terluka dengan tohmahan yang dibuat oleh masyarakat, terutama terhadap orang tua saya. Tambahan pula, perkara ini tidak semena-mena melibatkan orang yang tidak bersalah,” kata Jalaluddin.

Sebelum ini, perkahwinan Syella, mengejutkan orang ramai apabila majlis persandingan dan hantaran yang diterima mencecah RM15 juta.

Bertambah kecoh, apabila Syella, dikatakan berkahwin dengan orang kenamaan yang pernah memegang jawatan penting dalam negara.

Gambar mereka turut tersebar dan nama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tiba-tiba menjadi sebutan. Musa, bagaimanapun, dalam satu kenyataan, menafikan khabar itu dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu itu.

Sementara itu, Syella gagal dihubungi bagi menjelaskan perkara sebenar.- Sinar Harian
Baca Lagi......
P/S : Beli iPhones iPads yang diminati kat sini.....Sold.my !!!

Saturday, December 3, 2011

Gol Nazmi Faiz KetujuhTerbaik Dunia

BIARPUN skuad Olimpik negara pimpinan Ong Kim Swee tewas kepada Bahrain dalam Kelayakan Sukan Olimpik London Ahad lalu, namun salah satu jaringan yang dihasilkan pemain tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor tercatat sebagai gol ketujuh terbaik dunia minggu ini.



Berdasarkan maklumat yang dipaparkan dalam laman rasmi 101greatgoals.com, anak jati Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu mencuri perhatian dunia selepas meledak gol pembukaan negara dari jarak 30 meter dalam perlawanan malaysia vs bahrain


Tambah manis, dia menjadi pemain termuda yang berjaya memasuki carta jaringan terbaik sepanjang minggu ini biarpun baru berusia 17 tahun.

Karier perjalanan Nazmi bermula dengan bergabung bersama skuad Harimau Muda B yang kini beraksi dalam kancah Liga Perdana musim 2011.

Selepas itu, kecederaan yang menimpa Gary Steven Robbat menyebabkan Nazmi dipanggil ong Kim Swee bagi memperkuat skuad bawah 23 negara untuk menghadapi temasya Sukan Sea Jakarta, bulan lalu.

Walhal, pada saat itu, Nazmi sedang beraksi mewakili pasukan bawah 19 negara pada kejohanan di Vietnam. Namun, seperti sudah tersurat, kehadiran Nazmi membawa tuah apabila membantu rakan sepasukan mempertahankan pingat emas Sukan Sea dimenangi di Laos dua tahun lalu serta tersenarai pada pertemuan berdepan Syria dan Bahrain.

Kini, namanya meniti puncak kemasyuran seperti dikecapi pemain yang lain. Namun harus diingat, Nazmi masih muda dan memerlukan penjagaan rapi daripada semua pihak bagi mengelakkan jangka hayat pemain yang mendapat jolokan ‘Kaka Malaysia’ ini ‘tidak panjang’ gara-gara publisiti yang melampau.

Malah, Ong Kim Swee sendiri melahirkan kerisauan terhadap Nazmi yang mula mendapat tumpuan peminat dan media selepas berakhirnya kempen pertandingan bola sepak Sukan Sea lalu.

Senarai ranking penjaring gol terbaik di dunia minggu ini:

1. Kevin Prince Boateng (AC Milan lwn Barcelona, 23 November 2011)
2. Bruno Mezenga (Crvena Zvezda lwn Smederevo, 23 November 2011)
3. Yohann Eudeline (Sedan lwn Laval, 25 November 2011)
4. Dylan McGeouch (Celtic lwn St Mirren, 26 November 2011)
5. Jam Schlaudraff (Hannover lwn Hamburg, 26 November 2011)
6. Salif Hanifi (Saida lwn Kabylie, 26 November 2011)
7. Nazmi Faiz Mansor (Malaysia B23 lwn Bahrain B23, 27 November 2011) -gol nazmi ketujuh terbaik dunia
8. Tim Brown (Wellington Pheonix lwn Sydney CF, 27 November 2011)
9. Inigo Martinez (Real Sociedad lwn Real Betis, 27 November 2011)
10. Damian Alvarez (Tigres lwn Pachuca, 27 November 2011)

Tengok video ni ...
Baca Lagi......
P/S : Beli iPhones iPads yang diminati kat sini.....Sold.my !!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...